Rabu, 26 November 2008

Syor program tahfiz dianjur pada warga emas

KOTA BHARU, 25 Nov (Hrkh) - Tindakan mereka yang mahu mengubah kandungan al-Quran tetap akan gagal walaupun ia dilakukan dengan pelbagai cara bagi mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Demit Ustaz Haji Muhammad Mustafa berkata, perkara itu berlaku memandangkan al-Quran itu sendiri berada dalam kawalan dan jagaan Allah.

Menurutnya, tindakan golongan kufar khususnya dengan cara ingin memasukkan ayat-ayat lain ke dalam al-Quran tidak pernah berjaya sejak dahulu hingga kini kerana kitab suci itu sendiri berada dalam jagaan Allah.

"Sudah banyak kali pihak terbabit berusaha untuk mengkhianati al-Quran namun tidak pernah berjaya," katanya ketika merasmikan majlis program Pra-Tahfiz Musim Cuti Sekolah di Madinatul Ilmi Pondok Tok Kenali, Kubang Kerian dekat sini baru-baru ini.


"Sehubungan itu, saya menyeru umat Islam seluruhnya, marilah bersama dengan al-Quran dan jangan bersama dengan pihak yang melawan al-Quran, iaitu syaitan," ujarnya lagi.

Tegasnya, syaitan bukan saja hantu, bahkan mereka terdiri daripada spesis jin dan manusia yang jauh daripada rahmat Allah kerana mereka sendiri bermusuhan dengan kandungan al-Quran.

Katanya, semoga mereka yang mendaftar sebagai pelajar tahfiz al-Quran sekali gus tindakan itu dianggap mendaftarkan diri sebagai 'ahli Allah'.

"Apabila Allah memberi jaminan menjaga al-Quran, maka sekali gus Allah S.W.T memberi jaminan kepada orang yang menjaga kitab suci itu sendiri, selaras dengan firman-Nya yang bermaksud "Bahawa 'ahli Al-Quran' itu adalah sebagai 'ahli Allah," ujarnya lagi.

Pada masa sama beliau turut menyarankan program tahfiz dianjur pada golongan dewasa dan tidak hanya tertumpu pada golongan muda semata-mata, apa lagi golongan berkenaan begitu hampir dengan usia kematian.

Katanya, ada baiknya program tahfiz al-Quran dianjurkan untuk warga emas agar mereka sentiasa mengingati saat kematian di penghujung usia mereka.

Ahad, 16 November 2008

Rabu, 12 November 2008

Isnin, 10 November 2008

PERASMIAN & MAJLIS PENUTUP PRA TAHFIZ KENALI

Program Pra Tahfiz Musim Cuti di Madinatul Ilmi Pondok Tok Kenali akan dirasmikan 16 November 08 ini. ADUN Demit, YB Ustaz Muhamad Mustafa dijadualkan akan menyempurnakan program berkenaan pada pukul 2.00 petang. Sementara majlis penutupannya dijadual akan diadakan pada 06 Disember 08. Majlis penutup ini akan disempurnakan oleh Dato' Ust Muhammad Daud Al Iraqi, Ketua Dewan Ulama Malaysia. Dalam majlis penutup ini semua peserta akan dikurniakan watikah oleh Yang Berbahagia Dato'. Watikah ini dinamakan Sahabat Halaqah Tahfiz Quran.




PRAKATA DARI PENGARAH PROGRAM

Program Pra Tahfiz Quran musim cuti sekolah ini diadakan adalah bertujuan untuk memenuhi masa terluang anak-anak semasa cuti sekolah. Anak-anak adalah permata yang mesti dididik dan diasuh dengan penuh kasih sayang serta didikan keimanan yang berterusan. Anak-anak hari ini adalah pemimpin di masa hadapan. Kepimpinan yang terbentuk di hari depan adalah hasil didikan pada anak-anak hari ini. Demi menginsafi keadaan sedemikian, kami mengambil inisiatif mengadakan program ini. Apa yang diharapkan semoga usaha kerdil kami ini mendapat sokongan dan dokongan dari para penjenguk laman blog ini. Didoakan segala usaha dan sumbangan yang diberikan mendapat rahmat dan limpah dariNya jua.

Sepanjang kursus yang berlangsung selama tiga minggu ini, anak-anak akan didedahkan dengan kaedah-kaedah hafazan Al-Quran, khususnya Juz Amma, pembelajaran Tajwid yang melibatkan pengenalan huruf hijaiyah, sebutan makhraj huruf, mad dan bahagian-bahagiannya, Hukum Nun mati dan tanwin, pengenalan surah-surah Makkiyah dan Madaniah, pembelajaran solat dari segi teori dan amali, kaedah wudhu, azan dan iqamah, doa-doa serta wirid harian yang semestinya diketahui dan diamalkan oleh setiap individu muslim yang taat dan beriman.

Di samping pembelajaran dalam kelas, kita juga mengadakan aktiviti sukan dan riadhah terancang untuk meningkatkan stamina dan daya tahan anak-anak. Aktiviti rehlah atau perkhemahan akan diadakan sekali pada hujung minggu di satu tempat yang bersesuaian dan terkawal.

Mengambil kira kecanggihan dan kemajuan dunia global hari ini, anak-anak merupakan bahan pertama yang menjadi mangsa. Menyedari kepentingan dan untuk menghindari kebobrokan, kami mengambil sikap mendedahkan anak-anak dengan teknologi kemahiran komputer. Anak-anak diajar membina emel, membuat blog, menggunakan you tube, dan sebagainya demi untuk kepentingan Islam dan umatnya.

Solat berjemaah adalah diwajibkan pada setiap peserta. Aktiviti solat dilakukan di sebuah musolla yang bersesuaian dan selesa.

Pelajar ditempatkan di sebuah asrama lelaki dan perempuan masing-masing. Makanan dan minuman disediakan, termasuk perkhidmatan dobi.

Yuran yang dikenakan pada setiap peserta adalah sebanyak RM500.